Kesesakan lalu lintas merujuk kepada keadaan di jalan raya di mana terdapat banyak kenderaan yang tersekat akibat terlalu banyak kenderaan yang berada di atas jalan raya pada tempat dan waktu yang sama. Kesesakan lalu lintas juga biasanya berlaku pada waktu puncak seperti waktu masuk pejabat, waktu pulang dari pejabat, musim perayaan dan sebagainya. Kesesakan lalu lintas merupakan isu yang mengganggu kelancaran dan keselesaan masyarakat dalam menjalankan urusan seharian. Berikut merupakan punca berlakunya kesesakan jalan raya dan langkah-langkah mengatasinya.
Baca: Contoh Karangan Pencemaran Sungai
Pembangunan yang terancang dalam membangunkan sebuah bandar adalah sangat penting. Perancangan yang kurang tepat, hanya akan menimbulkan masalah pada kemudian hari. Banyak kemudahan yang perlu ditingkatkan sesuai dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Kerancakan pembangunan yang berlaku telah mendatangkan kesan yang lebih buruk jika dilaksanakan tanpa penelitian yang rapi. Pertambahan kenderaan yang tidak terkawal di bandar besar tidak mampu untuk menandingi penambahan keluasan jalan raya yang jarang-jarang sekali dilakukan. Keadaan ini telah dikenal pasti sebagai penyumbang utama punca kesesakan lalu lintas.
MIROS melaporkan, kesedaran pemandu terhadap sikap mematuhi undang-undang lalu lintas berada pada tahap begitu rendah sekali. Paling ketara ialah apabila ramai pengguna jalan raya meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan yang sesak dan laluan sempit. Mereka meletakkan kenderaan di bahu jalan tanpa menghiraukan kesulitan pengguna jalan raya yang lain. Kenderaan lain yang melalui jalan tersebut terpaksa memperlahankan kenderaan dan mengakibatkan pergerakan kenderaan tidak lancar. Kempen kesedaran yang dijalankan selama ini juga bagai mencurah air di daun keladi.
Usaha yang proaktif perlu dilakukan demi mengatasi masalah ini. Usaha yang dilakukan oleh pihak bertanggungjawab untuk melebarkan jalan harus dipuji. Namun begitu, usaha tersebut hanya bersifat sementara kerana pertambahan bilangan kenderaan tidak dapat disekat lagi. Langkah drastik untuk memulihkan keadaan ini adalah dengan merobohkan bangunan kedai lama yang sudah usang bagi membina jalan empat lorong. Jika langkah membina jalan empat lorong tersebut dapat dilaksanakan, antara sebelah kiri dan kanan jalan perlu dipisahkan dengan penghadang besi bagi mengelakkan orang ramai melintas sesuka hati yang boleh mengakibatkan kemalangan. Pada masa yang sama, pihak berkuasa juga perlu cakna dengan pandangan orang awam dan bukannya bertindak sendiri. Ini bagi mengelakkan berlaku tanggapan laksana wau melawan angin dan rumah siap pahat masih berbunyi.
Baca: Bergambar – 20 Ucapan Salam Tahajjud
Memang mudah menuding jari untuk menyalahkan mana-mana pihak terutamanya pihak berkuasa. Sudah terang lagi bersuluh, masyarakat juga perlu mengubah sikap untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Apa salahnya meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan agar tidak menyusahkan pengguna yang lain. Orang ramai hendaklah melintas jalan di jejantas yang disediakan. Sikap ambil mudah terhadap aspek keselamatan sebenarnya menyusahkan pemandu kenderaan. Pada masa yang sama juga, pemandu kenderaan perlu mematuhi had laju yang ditetapkan.
Konklusinya, semua pihak perlu saling berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam usaha mengatasi isu ini. Kerajaan perlu cakna terhadap keperluan rakyat. Manakala rakyat perlu menyokong usaha-usaha kerajaan dalam melaksanakan pelbagai perancangan untuk kebaikan rakyat. Dalam konteks masalah kesesakan lalu lintas, masalah tidak akan dapat diatasi jika tiada usaha yang bersungguh-sungguh dari kerajaan dan sokongan sepenuhnya daripada masyarakat. Sesungguhnya, kesesakan lalu lintas mendatangkan kerugian masa, tenaga dan wang ringgit setiap pengguna jalan raya.
punca kesesakan lalu lintas, kesesakan lalu lintas di malaysia, definisi kesesakan lalu lintas, punca tekanan perasaan kesesakan lalu lintas, langkah mengatasi kesesakan lalu lintas, kajian kesesakan lalu lintas, kesesakan lalu lintas di kuala lumpur, artikel kesesakan lalu lintas,