Contoh Karangan: Langkah Menggalakkan Amalan Membaca Dalam Kalangan Murid
Desawarsa ini, letusan media sosial telah menyebabkan amalan membaca dalam kalangan murid berada pada tahap yang amat membimbangkan. Dikatakan, kebanyakan murid membaca buku pelajaran dek kerana terpaksa bagi menghadapi peperiksaan. Buku-buku lain seperti novel, buku-buku ilmiah dan majalah kurang digemari oleh golongan murid kerana mereka lebih gemar melayari Internet dan berbalas-balas mesej melalui aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok. Hal ini bersesuaian dengan kenyataan seorang tokoh sastera tanah air, iaitu Prof. Dr. Haji Muhamad bin Haji Jamroni yang mengatakan bahawa remaja pada hari ini meletakkan peranti-peranti mereka lebih penting berbanding perkara-perkara lain termasuklah buku. Senario ini amat membimbangkan sekiranya tidak ada usaha-usaha untuk memupuk minat membaca dalam kalangan murid oleh semua pihak.
Baca: 12 Salam Subuh dan Doa – Khamis Jumaat
Antara usaha memupuk minat membaca dalam kalangan murid ialah pihak sekolah atau ibu bapa perlu memberikan ganjaran kepada murid yang membaca buku paling banyak. Pemberian hadiah seumpama ini boleh dijadikan sebagai salah satu insentif kepada murid tersebut. Secara tidak langsung, ia juga boleh menjadi pendorong kepada murid lain untuk turut sama membaca. Sebagai contoh, setiap sekolah diwajibkan mengadakan program NILAM yang bertujuan memupuk minat membaca dalam kalangan murid. Murid- murid yang membaca dalam jumlah yang telah ditetapkan akan diberikan hadiah dan gelaran tokoh NILAM sekolah. Begitu juga di rumah, ibu bapa boleh memberikan hadiah kepada anak yang gemar membaca. Jelaslah bahawa ganjaran dan penghargaan yang diberikan oleh sekolah atau ibu bapa mampu memupuk minat membaca dalam kalangan murid.
Disamping itu juga, pihak sekolah boleh memupuk minat membaca dalam kalangan murid dengan mengadakan kempen berkaitan kepentingan membaca kepada murid. Kempen ini boleh diadakan sepanjang tahun untuk mendatangkan impak yang lebih berkesan dalam usaha memberi kesedaran kepada murid-murid tentang kepentingan membaca. Misalnya, pengurusan sekolah boleh menampal poster berkaitan amalan membaca dan para guru sentiasa mengingatkan murid-murid tentang amalan membaca itu adalah amalan mulia. Ringkasnya, penganjuran kempen membaca boleh menyedarkan murid tentang kepentingan membaca dan seterusnya memupuk minat membaca dalam diri mereka.
Baca: 1001 Unique and Simple Birthday Wishes
Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka secara optimum dalam usaha memupuk minat membaca dalam kalangan murid. Hal ini demikian kerana ibu bapa merupakan antara insan yang paling dekat dengan anak-anak. Tambahan pula, anak-anak mula mengenal dunia melalui ibu bapa mereka sendiri. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak dalam usaha memupuk minat membaca dalam diri mereka. Ibu bapa perlu menunjukkan amalan mulia ini di depan anak-anak seperti selalu membaca buku di hadapan mereka. Tindakan-tindakan ini pasti akan diikuti oleh anak-anak kerana bapa borek, anak rintik. Amalan seumpama ini secara tidak langsung berjaya melahirkan sebuah keluarga yang gemar membaca dan berilmu pengetahuan.
Tuntasnya, pemupukan minat membaca dalam kalangan murid perlu digalas oleh semua pihak. Seterusnya, murid-murid tidak gemar membaca, mereka akan berfikiran tertutup seperti katak di bawah tempurung kerana mereka tidak mengetahui dan tidak mahu ambil tahu akan isu-isu semasa dan global. Jadi murid-murid atau remaja perlu bangkit dan menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya kehidupan.