Pendek – 2 Contoh Karangan Kemalangan Jalan Raya

Pendek - 2 Contoh Karangan Kemalangan Jalan Raya

Karangan Pendek: Usaha Untuk Menangani Kemalangan Jalan Raya

Setiap hari ada sahaja berita tentang kemalangan di jalan raya disiarkan sama ada di media cetak mahupun di media elektronik. Pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi menangani kemalangan jalan raya daripada terus berlaku dan menyebabkan kehilangan nyawa.

Pengguna jalan raya haruslah mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan samada pemandu, penunggang motosikal, mahu pun pejalan kaki. Pemandu kenderaan haruslah mematuhi had laju yang ditetapkan. Untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, sikap ego dan pentingkan diri perlu dibuang dalam diri pengguna jalan raya.

Baca: Bergambar – 40+ Ayat Sedih Cinta Untuk Kekasih

Seterusnya, pihak kerajaan boleh mengambil tindakan untuk membina satu sistem jalan raya yang selamat kepada pengguna. Pihak kerajaan haruslah menggunakan sumber kewangan dan peruntukan untuk membina jalan raya yang lebih lurus dan mempunyai laluan khas motosikal.

Di samping itu, penguatkuasaan undang-undang jalan raya merupakan salah satu usaha yang boleh dilakukan untuk membendung kes kemalangan daripada terus meningkat. Pihak polis hendaklah membuat pemantauan secara berterusan terhadap sikap pengguna jalan raya.

Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Sekiranya semua pihak menjalankan tanggungjawab seperti yang dinyatakan, sudah pasti kemalangan jalan raya dapat dielakkan sekali gus kemalangan sifar dapat dijadikan kenyataan.

Karangan Pendek: Punca Berlakunya Kemalangan Jalan Raya

Kemalangan jalan raya semakin meningkat lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.  Hal ini amat membimbangkan pelbagai pihak kerana kemalangan yang berlaku bukan hanya mendatangkan kecederaan kepada mangsa malah boleh menyebabkan kehilangan nyawa.  Pelbagai faktor yang mendorong peningkatan kes kemalangan.

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya adalah kerana sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Pemandu perlu mengikut undang-undang jalan raya dan had laju jalan raya yang ditetapkan.

Seterusnya, pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu merupakan punca utama  kemalangan jalan raya. Kajian menunjukkan sebanyak 90 peratus pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Pemandu yang terleka dengan telefon bimbit hanya beberapa saat boleh menyebabkan kemalangan.

Baca: Penerangan dan Contoh Ayat Penyata

Selain itu, kenderaan yang tidak diservis berkemungkinan akan mengalami kerosakan dan berhenti di tengah-tengah jalan. Situasi ini amat membahayakan , lebih-lebih lagi ada kenderaan yang dipandu laju yang datang dari arah belakang dan melanggar keneraan yang rosak itu.

Selain itu, keadaan jalan raya yang tidak sempurna merupakan punca kemalangan jalan raya. Jalan raya yang licin akibat hujan mengurangkan kecekapan brek dan akan mengakibatkan kemalangan. Jalan raya yang berlubang-lubang akan meyebabkan tayar kenderaaan rosak.

Kesimpulannya, kemalangan jalan raya dapat dielakkan sekiranya pengguna berhati-hati ketika menggunakan jalan raya. Gunakanlah jalan raya dengan berhemah, janganlah sudah terhantuk baru tengadah.