Media sosial membolehkan maklumat disebarkan dengan pantas tanpa sempadan mengakibatkan terjadinya fenomena besar terhadap pengaliran maklumat yang tidak hanya berlaku di negara-negara maju, bahkan juga di Malaysia. Trend ini menjadikannya satu keperluan kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat dengan mudah dan cepat. Media sosial menjadi salah satu media yang mempunyai pelbagai keunggulan berbanding dengan media lainnya.
Baca: Format dan Contoh Surat Rasmi Terkini
Media sosial mempunyai sifat yang lebih interaktif berbanding bentuk media tradisional seperti radio dan televisyen. Penggunaan media sosial seperti blog, Facebook, YouTube dan Twitter tidak sekadar menjadi ruangan sembang kosong atau hanya untuk meluangkan masa lapang. Ia kini menjadi rangkaian komunikasi yang meluas kepada segenap lapisan masyarakat tidak kira golongan remaja, dewasa mahu pun pemimpin. Saluran komunikasi dalam talian ini membolehkan pengguna berinteraksi dengan mudah secara bebas, berkongsi dan membincangkan maklumat dengan menggunakan pelbagai jenis multimedia yang terdiri daripada teks, gambar, video dan audio. Malahan, media sosial ini juga boleh dijadikan sebagai medium untuk mencari rakan lama yang terpisah dan kembali berhubung semula dengan mereka serta mengikat ukhuwah sesama insan.
Media sosial juga boleh dijadikan sebagai medan untuk perkongsian ilmu atau maklumat yang bermanfaat bersama rakan-rakan media sosial yang lain. Para pengguna media sosial boleh saling bertukar-tukar pendapat selain menimba dan berkongsi ilmu baharu di laman maya. Kemudahan teknologi media melalui penggunaan laman facebook yang disediakan menyebabkan penggunanya meningkat terutamanya di kalangan remaja dan para pelajar. Menerusi laman facebook ia boleh meningkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang tertakluk kepada percambahan evolusi sosio teknologi zaman kini dengan berkongsi maklumat dan bahan akademik terutamanya para pelajar dapat berkongsi artikel dan bahan rujukan. Salah satu media teknologi yang sesuai digunakan adalah pengajaran melalui ‘streaming video’. Ia boleh dilaksanakan sama ada secara siaran langsung atau secara rakaman.
Baca: Ucapan Hari Lahir untuk Anak Tersayang
Teknik pemasaran media sosial diakui merupakan alat pemasaran yang terbesar dan dominan pada masa ini. Para peniaga menginginkan pemasaran yang meluas tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak. Media sosial telah terbukti banyak memainkan peranan yang signifikan dalam proses pemasaran yang kemudiannya akan menampakkan peningkatan dari segi jumlah penjualan dan bertambahnya keuntungan dalam perniagaan mereka. Kos pengiklanan dapat diminimakan dengan menggunakan media sosial ini. Proses penyebaran informasi dan maklumat di media sosial adalah sangat mudah. Peniaga hanya perlu membuat artikel, tulisan, gambar, video atau apa jua bentuk informasi lainnya dan meletakkannya di media sosial tertentu yang dapat dilihat oleh semua pengguna di internet. Ia sepatutnya menjadi pelan pemasaran yang paling efektif untuk semua pemilik perniagaan sama ada yang kecil ataupun besar.
Pengguna media sosial perlu memiliki ilmu supaya penggunaannya membawa kepada kebaikan dan memberi faedah. Ilmu itu ialah untuk memastikan media sosial tidak menguasai kehidupan seseorang. Penggunaan media sosial untuk tujuan kebaikan akan memberi manfaat kepada penggunanya, namun mendatangkan mudarat sekiranya digunakan bagi tujuan keburukan dan kejahatan.