No. 23 Jalan Kenanga,
Taman Dahlia,
68100 Ampang.
Pihak Berkuasa Majlis Bandaran Ampang,
Jalan Pegawai,
68100 Ampang. 2 Mac 2020
Tuan,
Masalah Sampah Sarap di Taman Dahlia.
Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawasa saya, bagi pihak penduduk Taman Dahlia, Ampang, ingin mengadu tentang masalah sampah sarap di taman ini.
2. Sejak dua minggu yang lalu, sampah sarap di kawasan taman ini tidak dipungut oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak tuan. Dua buah tong sampah besar di taman ini sudah sarat dengan sampah di sekeliling tong-tong sampah itu. Akibatnya, sampah sarap bertaburan di kawasan itu dan kelihatan amat menjijikkan. Setiap hari, terdapat anjing, kucing dan tikus yang berkeliaran di kawasan sampah sarap itu untuk mencari makanan. Lalat pula tidak terkira banyaknya.
3. Sampah sarap itu mengeluarkan bau yang busuk dan tengik. Bau busuk ini mengganggu penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan sampah sarap itu. Sekiranya angin bertiup dengan kuat, bau busuk itu dapat dihidu sehingga 200 meter jauhnya. Kami bimbang keadaan ini akan menjejaskan kesihatan penduduk taman ini.
4. Kami telah menghubungi kontraktor yang berkenaan sebanyak dua kali, tetapi sehingga sekarang, tiada tindakan diambil olehnya. Kami sungguh kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab kontraktor tersebut.
Kami berharap agar tuan akan mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah sampah sarap di taman kami.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Meor sajak
(Meor Sajak)
Wakil Penduduk Taman Dahlia.