Contoh Karangan : Punca-punca Pelajar Ponteng Sekolah

Contoh Karangan : Punca-punca Pelajar Ponteng Sekolah

Contoh Karangan : Punca-punca Pelajar Ponteng Sekolah

Setiap sekolah di negara kita pasti menghadapi masalah pelajar ponteng sekolah. Masalah ini umpama sudah menjadi asam garam bagi guru kelas dan guru disiplin sekolah. Setiap hari pasti ada pelajar yang tidak hadir ke sekolah. Walaupun terdapat sebahagian daripada pelajar yang tidak hadir ke sekolah mempunyai alasan yang tersendiri seperti sijil cuti sakit daripada doctor ataupun atas urusan peribadi, namun terdapat juga pelajar yang secara sengaja tidak hadir ke sekolah. Kelompok inilah yang dikategorikan sebagai pelajar ponteng sekolah. Masalah ponteng sekolah tidak boleh dibiarkan dan perlu dikekang dari awal, umpama melentur buluh biarlah dari rebung. Persoalan yang sering kali bermain-main di minda kita, apakah punca para pelajar suka ponteng sekolah?

Baca: Terima Kasih – Menghargai Ucapan Hari Lahir dan Hari Jadi

Faktor primer untuk masalah pelajar ponteng sekolah ialah pengaruh rakan sebaya. Kebanyakan pelajar yang masih cetek pemikiran ini hanya mengikut sahaja kata-kata rakan mereka tanpa memikirkan implikasinya. Ajakan dan pujuk rayu rakan taulan yang suka ponteng sekolah boleh mempengaruhi seseorang pelajar untuk turut sama ponteng sekolah. Jika diselidiki, masalah ponteng sekolah ini selalunya dilakukan secara berkumpulan. Biasanya, mereka sudah merancang untuk ponteng sekolah pada hari yang sama dan akan melakukan aktiviti lain seperti melepak di pusat beli belah ataupun pergi ke pusat permainan video.

Selain itu, terdapat juga punca lain yang telah dikenal pasti, iaitu pelajar ini tidak mempunyai minat untuk belajar. Hal ini disebabkan, mereka berasa bosan dengan proses pembelajaran di sekolah. Bagi mereka, semua mata pelajaran yang diajar oleh guru membosankan dan tidak bermanfaat kepada mereka. Natijahnya, segala ilmu yang diajar oleh guru tidak dapat difahami oleh mereka umpama peribahasa masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Mereka tidak pernah berusaha untuk menanam minat terhadap pelajaran. Pelajar seperti ini tidak mempunyai misi dan visi dalam hidup mereka disamping tidak memahami objektif mereka hadir ke sekolah. Kesannya, mereka mengambil jalan pintas dengan cara ponteng sekolah dan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Baca: Contoh Karangan Syarahan : Amalan Gotong Royong

Pada masa sama, pelajar yang mempunyai masalah keluarga juga merupakan pelajar yang berpotensi untuk ponteng sekolah. Hal ini demikian kerana mereka merasakan tindakan mereka ini merupakan salah satu cara untuk memprotes dan menghilangkan tekanan. Keadaan di rumah yang sering huru-hara boleh menyebabkan seseorang pelajar itu tertekan lalu menyebabkan minat untuk belajar menurun. Masalah keluarga juga berpunca daripada kes kemiskinan yang mendorong segelintir pelajar sanggup ponteng sekolah untuk mencari rezeki tambahan dengan melakukan kerja sambilan bagi menampung keperluan keluarga.

Ringkasnya, dapat dinyatakan bahawa kes ponteng sekolah wajar untuk ditangani secara efektif. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka tiba ke sekolah dan bukannya melencong ke tempat lain. Hubungan antara pihak sekolah dengan ibu bapa penjaga wajar diperkukuh agar gejala ini dapat ditangani dengan berkesan. Pihak sekolah perlu berhubung rapat dengan ibu bapa sekiranya terdapat pelajar yang tidak hadir ke sekolah dalam kekerapan hari yang meragukan. Di samping itu, semua pihak perlu sedar sekiranya gejala ponteng sekolah ini dibiarkan, ia akan mengundang masalah yang lebih besar seperti masalah penagihan dadah, rompakan, pergaduhan dan sebagainya.