Contoh Karangan: Masalah Disiplin Dikalangan Murid

Contoh Karangan: Masalah Disiplin Dikalangan Murid

Contoh Karangan: Masalah Disiplin Dikalangan Murid

Dewasa ini, kita sering dihidangkan dengan masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan remaja khususnya murid sekolah. Saban hari, pasti tersiar di dada akhbar dan kaca televisyen berita tentang masalah disiplin yang dilakukan oleh murid. Hal ini pastinya amat membimbangkan kerana murid sekolah merupakan benteng utama negara pada masa hadapan. Masalah disiplin dalam kalangan murid boleh menjejaskan cita-cita negara dalam melahirkan modal insan yang berkualiti bagi memacu negara menjadi sebuah negara maju. Jika diamati, pelbagai faktor yang mendorong kepada masalah disiplin dalam kalangan murid.

Baca: Wishes Happy Birthday and Messages Online

Faktor utama yang dikenal pasti menjadi punca peningkatan masalah disiplin dalam kalangan murid ialah sikap ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak dengan didikan yang betul. Sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak boleh mendidik anak-anak mereka dengan baik, kepada siapakah lagi tanggungjawab itu harus dipikul? Desawarsa ini, Sesetengah ibu bapa gagal menjadi contoh terbaik untuk anak-anak dengan bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Ibu bapa seperti ini lebih sibuk membuat urusan kerja sehingga tidak mempunyai masa untuk mendidik anak-anak. Maka terbuktilah pola peningkatan masalah disiplin dalam kalangan murid turut disumbangkan oleh kegagalan ibu bapa dalam memainkan peranan mereka untuk mencorakkan keperibadian anak masing-masing.

Faktor seterusnya ialah pengaruh rakan sebaya yang turut menjadi penyumbang utama dalam peningkatan masalah disiplin murid. Jika ditelusuri, golongan remaja kini lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan sebaya berbanding ahli keluarga mereka sendiri. Statistik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia menunjukkan golongan murid akan bersama-sama dengan rakan mereka lebih dari lapan jam sehari. Jika buruk perangai rakan yang dipilihnya, maka buruklah juga pengaruh perangai yang dibawanya. Kadang kala mereka dicabar untuk melakukan sesuatu kesalahan demi menunjukkan kehebatan diri. Maka, sudah terang lagi bersuluh, pengaruh rakan sebaya boleh mempengaruhi seseorang murid terlibat dalam masalah disiplin.

Baca: Menurut Hadis – Ucapan Takziah Kematian

Seterusnya, pengaruh media turut menjadi faktor penglibatan murid dalam masalah disiplin ini. Lihat sahaja di laman media sosial, dana-dana akhbar mahupun di kaca-kaca televisyen yang banyak menyiarkan aksi keganasan dan masalah sosial. Contoh yang paling ketara seperti dalam filem Bohsia, Adnan Sempit dan KL Gangster yang memaparkan tema keganasan yang mendapat tempat di hati para murid. Kebanyakan murid yang masih berfikiran kurang matang dan tidak dapat membezakan antara kaca dengan permata akan meniru aksi-aksi yang dipertontonkan dalam filem ini. Misalnya, aksi merempit, pergaulan bebas dan penagihan dadah. Sesungguhnya, tanpa sedar adegan seumpama ini dapat menjerumuskan seseorang murid ke kancah masalah disiplin.

Sebagai kesimpulan, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan masalah disiplin dalam kalangan murid. Namun, perkara ini boleh diatasi sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing serta saling berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menangani kemelut ini.