Contoh Karangan: Kebaikan dan Kesan Positif Televisyen Terhadap Masyarakat

Contoh Karangan: Kebaikan dan Kesan Positif Televisyen Terhadap Masyarakat

Evolusi televisyen telah melalui satu fasa perkembangan yang panjang. Bermula dengan era televisyen hitam putih pada tahun 50-an, ia berkembang menjadi televisyen berwarna pada era 70-an, dan kini, era televisyen paparan hablur cecair atau LCD telah mendominasi pasaran di seluruh dunia termasuk Malaysia. Setiap rumah di negara kita pasti dilengkapi dengan set televisyen, bahkan ada yang memiliki lebih daripada satu. Keberadaan ini jelas menunjukkan bahawa televisyen masih memainkan peranan yang signifikan dalam kehidupan masyarakat pada era globalisasi ini. Apatah lagi dengan penambahan saluran digital seperti Netflix, Disney, Tonton dan Sooka, televisyen terus mengalami revolusi untuk menjadikannya sentiasa signifikan dalam mendidik masyarakat menuju pembentukan masyarakat madani.

Peranan dominan televisyen dalam usaha mendidik masyarakat ialah melalui fungsinya sebagai wadah penyebaran ilmu agama. Melalui saluran seperti Saluran Oasis 106 Astro dan TV Al-Hijrah, masyarakat diberikan alternatif untuk mendalami pelbagai ilmu agama tanpa perlu meninggalkan rumah. Saluran seumpama ini menyediakan pengajian mengenai hukum tajwid al-Quran, ilmu fekah, dan lain-lain. Rancangan agama seperti “Mari Mengaji” dan “al-Kuliyah” di TV3 dan TV9 turut memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat kepada nilai-nilai keagamaan. Oleh itu, penyiaran rancangan berbentuk agama mampu mendidik masyarakat ke arah yang lebih baik.

Saluran televisyen turut menjadi wadah untuk mendidik penonton menjadi warganegara yang bertanggungjawab terhadap negara dan mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi. Drama, filem, dan dokumentari yang menyentuh aspek sejarah negara, seperti “Galeri Nasional” di RTM 1 mampu membakar semangat nasionalisme dalam kalangan penonton. Melalui pemahaman sejarah kemerdekaan dan kehidupan zaman penjajah, televisyen berperan sebagai medium untuk meningkatkan semangat cinta tanah air. Siaran langsung dari siding parlimen pada pukul 10.00 pagi turut mendidik rakyat menjadi generasi yang bertanggungjawab dengan memahami agenda utama pembangunan negara. Rancangan-rancangan seumpama ini bertujuan untuk membentuk nilai-nilai kebersamaan dan kebangsaan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, rancangan bual bicara yang disiarkan berjaya mendidik dan memberi pengetahuan kepada penonton khususnya berkaitan isu semasa. Misalnya, Rancangan Selamat Pagi Malaysia dan Malaysia Hari Ini yang ke udara di RTM 1 dan TV3 bermula seawal pukul 7.00 pagi telah banyak memberi manfaat kepada para penonton. Mereka diberi nasihat dan tip berguna oleh pakar yang dijemput sebagai tetamu. Inisiatif ini membantu masyarakat untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran seperti mengenai penjagaan diri, rumah tangga, dan anak-anak. Selain itu, golongan sasar khusunya suri rumah juga diberi tip mendidik anak, menghias rumah dan memasak oleh pakar dalam bidang masing-masing. Semua ilmu yang dikongsi ini secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan, rumah tangga, penjagaan anak dan sebagainya.

Deretan drama yang disajikan melalui pelbagai saluran televisyen juga dapat mendidik penonton menjadi manusia yang berguna. Pelbagai tema dan persoalan yang dikemukakan oleh pengarah melalui drama dan telefilem mereka dengan tujuan untuk memberi mesej dan pengajaran kepada penonton. Drama “Ihsan” yang disiarkan melalui slot Cerekarama di TV3 berjaya mendidik penonton agar tidak menderhaka kepada ibu. Watak utama dalam cerita ini, iaitu Isan telah mengabaikan ibunya selepas berkahwin dengan seorang perempuan kaya dan akhirnya Isan mendapat balasan akbat perbuatannya itu.

Di samping itu, drama bersiri “Gerak Khas” yang telah menemui penonton sejak sedekad lalu mendidik para penonton agar menjauhi kegiatan jenayah. Hal ini jelas membuktikan bahawa drama yang pada asasnya berfungsi sebagai bahan hiburan turut mempunyai peranan mendidik penonton untuk menjadi insan yang berakhlak mulia.

Pelbagai altenatif saluran yang ditawarkan oleh syarikat televisyen sama ada saluran percuma mahupun saluran berbayar memberi peluang kepada kita untuk memilih rancangan yang terbaik. Intihanya, sebagai penonton kita mestilah bijak menilai antara kaca dan permata dalam memilih rancangan televisyen untuk ditonton. Kesimpulannya, boleh dikatakan bahawa televisyen merupakan satu medium yang mampu mendidik masyarakat secara tidak formal.