Contoh Karangan Laporan PT3 Terbaik

Contoh Karangan Laporan PT3 Bertemakan Perkhemahan

Contoh Karangan Laporan PT3 Terbaik

Pada 20 hingga 25 Ogos 2020 yang lalu, Sekolah Kebangsaan Parit Sulong Kali ke – 10 telah menganjurkan Program Perkhemahan Perdana Pasukan Beruniform di Taman Botani Johor, Seri Medan. Sebanyak empat pasukan beruniform yang terlibat iaitu Kadet Bomba, Persatuan Pandu Puteri, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Kadet Polis.

Seramai 80 orang pelajar telah menyertai program perkhemahan ini iaitu 20 orang dari setiap pasukan beruniform. Program perkhemahan ini turut disertai seramai 15 orang guru pengiring. Segala kos penganjuran sepanjang program ini berlangsung ditaja oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Parit Sulong.

Baca: Contoh Teks Ucapan Perpisahan Guru

Tujuan utama penganjuran program perkhidmahan ini ialah bagi melahirkan belia yang serba boleh. Perkhemahan merupakan salah satu aktiviti yang menggabungkan aspek ketahanan dan kemahiran. Melaluinya, para peserta akan dapat mempraktikkan segala kemahiran dan kecekapan yang telah dipelajari.

Di program tersebut, para peserta dibahagikan kepada sepuluh kumpulan dan setiap kumpulan diselia oleh seorang guru pengiring. Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program perkhemahan enam hari lima malam ini. Antaranya ialah pertolongan cemas, pertandingan nyanyian rakyat, sukaneka, merentas halangan dan ikhtiar hidup.

Para peserta turut diajar mengenali beberapa jenis flora yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Mereka turut diajar mengenai petua dan tip berlindung daripada haiwan buas di dalam hutan.

Berdasarkan kepada maklumbalas yang diterima, para peserta mempamerkan semangat berpasukan dan disiplin sepanjang penganjuran berlangsung. Majlis perasmian pembukaan dan penutup Program Perkhemahan Perdana Pasukan Beruniform Kali ke-10 ini telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Batu Pahat, YBrs En Ali bin Bustaman.

Baca: Karangan Keburukan Media Sosial Kepada Masyarakat

Jutaan penghargaan dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tahunan ini.

Laporan Disediakan oleh,

Mohd Noor bin Abdullah
Setiausaha