Contoh Karangan Keburukan Media Sosial Kepada Remaja

Contoh Karangan Keburukan Media Sosial Kepada Remaja

Penyebaran maklumat pada abad ini pantas tanpa sempadan geografi dan waktu. Abad dikenali ‘langit terbuka’ ini menyediakan ‘lebuh raya maya’ yang berupaya melambakkan segala macam bahan berita dan informasi, daripada bersifat teks hingga bentuk visual pelbagai ragam dan rencam. Media sosial kini menjadi wadah utama dalam menyampaikan segala yang berlaku dalam kehidupan hari ini. Namun, wujud masalah dalam isu literasi berkaitan penyebaran maklumat melalui media sosial.

Baca: Contoh Doa dan Ucapan Hari Jadi

Penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat khususnya remaja boleh dikatakan belum cukup matang. Buktinya masih banyak isu sensitif khususnya agama dan perkauman bermain di ruang media sosial kita. Platform media sosial popular seperti Facebook, Twitter, Whatsapp, Instagram dan YouTube merupakan antara medium utama yang sering digunakan oleh masyarakat dalam membincangkan isu-isu terkini selain mengutarakan pendapat masing-masing berkenaan sesuatu perkara. Yang jelas, media sosial seringkali digunakan sebagai saluran menyebar pemikiran asing yang bercanggah dengan kehendak naratif nasional. Kita harus akui, penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat belum cukup matang. Buktinya masih banyak isu sensitif khususnya agama dan perkauman bermain di ruang media sosial kita. Tambah buruk isu sensitif itu dipolitikkan atau dijadikan alat propaganda politik tanpa mempedulikan kesan buruknya terhadap masyarakat dan negara. Sifat penggunaan media sosial yang kurang matang ini menggambarkan proses sosialisasi politik masyarakat kita belum mencapai kematangan. Jika diperhatikan melalui perkembangan media sosial di Malaysia, kadar celik politik masih rendah kerana perbincangan di laman sesawang hanya tertumpu pada hal-hal peribadi, fitnah antara satu pihak dan pihak yang lain serta memanipulasi fakta yang betul. Perkara ini tidak membawa sebarang kebaikan, malah meretakkan hubungan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Terdapat juga pengguna-pengguna media sosial ini terjebak dengan penipuan asmara cinta atas talian atau lebih popular dengan istilah ‘Internet Romance Scam’. Pemangsa mengenal pasti mangsa mereka menerusi laman sosial atau laman web suai kenal dan seterusnya cuba mendekati dan menjalin hubungan cinta. Selalunya pemangsa akan menggunakan identiti yang menonjolkan diri sebagai teman cinta sejati yang sempurna. Mereka akan menggoda mangsa serta menyatakan keinginan untuk berkahwin. Sasaran mereka ialah untuk memanipulasikan keadaan emosi yang menjadi kelemahan mangsa. Namun di sebalik semua ini, tujuan sebenar mereka ialah untuk memperdaya dan mengaut sejumlah besar wang ringgit daripada mangsa. Penipuan asmara cinta atas talian ini bukan sahaja memberi kesan negatif kepada diri mangsa, ia juga melibatkan pihak keluarga mangsa dan masyarakat. Antara kesan negatif aktiviti jenayah ini ialah kerugian wang, perpecahan keluarga, kecurian identiti serta kesan emosi dan psikologi. Diyakini, kemungkinan terjadinya kes-kes jenayah seperti ini adalah berpunca daripada kurangnya kesedaran pengguna media sosial mengenai keselamatan siber.

Baca: Download – 5 Contoh Resume Bahasa Melayu

Pada tahun 2016, kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) menunjukkan lebih 60 peratus daripada golongan belia berusia 18 hingga 25 tahun yang dikaji di negara ini, dikesan menghabiskan masa lebih lima jam sehari, untuk melayari internet, terutama bahan berunsur hiburan. Mereka didapati lebih mudah mengalami kemurungan dan masalah kesihatan, berikutan tindakan mengurangkan masa tidur serta rehat yang cukup. Contohnya, jika seorang pengguna media sosial tidak dapat menggunakan WhatsApp atau Facebook untuk tempoh tertentu, mereka akan merasa risau kerana takut ketinggalan untuk mengetahui isu semasa. Ini adalah antara simptom masalah kesihatan mental. Kajian turut mendapati wujudnya kes individu mengalami kemurungan hanya kerana status di Facebook tidak mendapat reaksi rakan, hingga menjejaskan keyakinan diri serta mewujudkan prasangka terhadap orang sekeliling. Contoh lain yang boleh diketengahkan ialah satu kejadian kes yang berlaku pada 13 Mei 2019 yang lalu. Hanya disebabkan pengaruh dengan keputusan majoriti rakan-rakan di media sosial, seorang remaja di Batu Kawa, Kuching, Sarawak memilih menamatkan riwayatnya. Berdasarkan laporan media tempatan, remaja 16 tahun itu telah ‘merealisasikan’ pilihan netizen yang mengundinya untuk ‘mati’. Dengan pemikiran yang kurang waras, mangsa didakwa nekad terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan rumah kedai. Media sosial sangat bahaya kepada golongan yang mempunyai masalah kemurungan atau memiliki tahap pemikiran yang tidak rasional.

Buli siber adalah perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti media sosial, e-mel,, telefon bimbit, permainan internet dan sebagainya. Pembuli siber tidak seperti pembuli yang lain kerana ia berlaku dalam dunia siber yang tidak bersempadan. Ini menyukarkan mangsa untuk melindungi diri mereka. Terdapat juga gejala pembulian siber seperti sindrom ‘tall poppy’ dalam media sosial yang mana ia merujuk kepada situasi yang mana pengguna media sosial akan memberikan komen-komen yang negatif bagi tujuan menjatuhkan maruah pengguna media sosial yang lain kerana mereka tidak senang melihat orang lain berada dalam keadaan yang lebih tinggi daripada diri mereka sendiri. Kesan pembulian siber terhadap mangsa adalah lebih kepada psikologi mangsa seperti kurang keyakinan diri, menjadi anti sosial dan dalam kes yang lebih ekstrem, mangsa mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri. Trend semasa telah menunjukkan peningkatan kes pembulian siber dari tahun ke tahun. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak CyberSecurity Malaysia, sebanyak 300 kes pembulian siber yang direkodkan pada tahun 2012, 512 kes pada tahun 2013, 550 kes pada tahun 2014, 442 kes pada tahun 2015 dan 529 kes pada tahun 2016. Data sebenar mungkin lebih banyak lagi kerana umum mengetahui ramai mangsa buli siber tidak tampil untuk mendapatkan bantuan mahupun membuat laporan kepada pihak berwajib.

Penggunaan media sosial dalam dunia tanpa sempadan sama ada membawa kepada kebaikan atau keburukan jawapannya terletak kepada pengguna media sosial itu sendiri. Adalah menjadi tanggungjawab setiap pengguna untuk menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak menyalahgunakan kemudahan teknologi yang ada. Sekiranya penggunaan media sosial tidak digunakan secara berhemah, medium berkenaan sekadar alat yang boleh menambah lagi masalah.

kesan buruk penggunaan laman media sosial, karangan spm kesan buruk penggunaan media sosial, karangan keburukan media sosial kepada masyarakat, karangan kesan buruk penggunaan laman media sosial, contoh karangan keburukan media sosial kepada remaja, kesan negatif media sosial, artikel keburukan media sosial, Contoh Karangan Keburukan Media Sosial Kepada Remaja